AFES & PERBADANAN PUTRAJAYA LANCAR KERJASAMA DALAM PROGRAM Langkah Sihat, Kebun Kompos Putrajaya Precint 18

Putrajaya, 2 Oktober 2024Alam Flora Environmental Solutions (AFES), syarikat di bawah naungan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dan juga merupakan anak syarikat milik penuh Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), baru-baru ini telah melancarkan inisiatif kebun kompos di Presint 18, Putrajaya, dalam menghasilkan baja kompos dari sisa makanan yang dirawat dengan menggunakan mesin komposnya.

Program yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya ini juga bertujuan untuk  menguji kualiti baja kompos yang dihasilkan daripada komposisi sisa makanan yang dikumpul di persekitaran Putrajaya serta untuk kegunaan program Kebun Komuniti di sekitar Putrajaya.

Pengurus Jabatan Kitar Semula AFES, Puan Ts. Ismi Azura Istear Khan berkata, AFES mampu menghasilkan 250 hingga 300 kilogram baja setiap bulan. Hari ini, 90 kilogram baja yang dihasilkan daripada sisa makanan telah disampaikan kepada wakil komuniti dan peniaga tempatan, sebagai contoh ekonomi kitaran yang berkesan.

“Sejak tahun 2015, AFES telahpun mengoperasikan mesin kompos untuk memproses sisa makanan dari kawasan sekitar. Inisiatif ini selaras dengan matlamat Bandar Karbon Rendah Putrajaya menjelang 2030, yang menyasarkan pengurangan 30% sisa per kapita dan peningkatan 2% kadar kitar semula setiap tahun. Proses kompos membantu mengurangkan jumlah sisa yang dibawa ke tapak pelupusan.”

Menurut Timbalan Presiden Perbadanan Putrajaya (Perancangan Bandar), Tuan Haji Nik Shukri Nik Soh, kerjasama bersama pihak AFES ini merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan kadar kitar semula di Putrajaya dan sekaligus ini menjadikan Putrajaya sebagai bandar contoh dalam mencapai aspirasi bandar yang mampan.

“Sejak tahun 2004 sehingga kini, Perbadanan Putrajaya dan Alam Flora telah bekerjsama bagi menjayakan pelbagai program kitar semula termasuk pemprosesan sisa makanan menerusi sistem kompos menggunakan mesin. Sepanjang tahun ini, kami telah menyedari peranan penting yang dimainkan oleh pengurusan sisa dalam membentuk masa depan yang mampan untuk bandar Putrajaya. Salah satu perkembangan terkini dalam perjalanan ini ialah penubuhan kebun kompos kami di Precint 18, Putrajaya.

“Kebun ini bukan sahaja ruang untuk bercucuk tanam, ia adalah contoh, bagaimana kita boleh mengubah sisa makanan menjadi sumber yang bermanfaat. Untuk pengetahuan semua, terdapat satu mesin pengkomposan, yang telah diuruskan oleh pihak AFES sejak 2015. Mesin ini memproses sisa makanan dari kawasan berhampiran di Precint 18, memproses sisa makanan menjadi kompos,” tambah Nik Shukri.

Kebun kompos ini menempatkan pelbagai jenis tumbuhan, termasuk kacang buncis, cili, dan daun pandan. Sasaran di masa hadapan adalah untuk mempelbagaikan lagi tanaman yang ditanam di kebun kompos ini bagi melihat kualiti dan keserasian diantara baja kompos yang dihasilkan dengan tanaman.

AFES akan terus komited dalam memajukan usaha kelestarian di Putrajaya dengan meningkatkan pengasingan sisa dan mengguna pakai teknologi hijau. Kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya dan komuniti akan memperkukuh reputasi Putrajaya sebagai bandar model pelaksanaan program  kitar semula dan pengurusan alam sekitar di Malaysia. Dengan strategi pengurusan sisa pengkomposan yang inovatif, AFES berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon dan membina masa depan yang lebih hijau di Putrajaya.

Majlis perasmian program “Langkah Sihat, Kebun Kompos Putrajaya Precint 18 telah dihadiri oleh Tuan Haji Nik Shukri Nik Soh serta lebih 50 tetamu terdiri daripada warga kerja Perbadanan Putrajaya dan AFES, wakil kobuniti dan penjaja sekitar kawasan Putrajaya.

Mengenai Alam Flora Environmental Solutions (AFES)

Alam Flora Environmental Solutions (AFES) adalah sebuah anak syarikat milik penuh Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) di bawah Malakoff Corporation Berhad (Malakoff). AFES menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelbagai syarikat, kerajaan dan institusi selama ini.

AFES adalah pakar dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan alam sekitar yang komprehensif untuk meningkatkan kualiti hidup. Diperakui dengan ISO 9001, 14001 & ISO 45001, AFES juga menawarkan penyelesaian alam sekitar holistik kepada pelbagai syarikat, agensi kerajaan dan institusi melalui perkhidmatan alam sekitar yang komprehensif untuk menyokong pembangunan lestari. Selain pengurusan sisa pepejal, AFES telah mempelbagaikan perniagaan dan perkhidmatannya melalui inovasi, ke dalam beberapa perniagaan teras yang berbeza, termasuk Pengurusan Fasiliti (Facility Management), Infrastructure Cleansing and Waste Solutions (ICWS), Waste Management Facilities (WMF), Port Reception Facilities (PRF) dan Sustainable Facility & Eco Park Centre (SAFE)

Untuk pertanyaan : Sila layari www.afes.com.my atau hubungi Ahmad Hasif bin Hilmi, Eksekutif Pemasaran, Alam Flora Environmental Solutions, Tel: +60132757958/ +603-78030518

Scroll to Top